Dalam apa jua perkara untuk memulakan sesuatu, langkah pertama adalah yang paling sukar kerana kita memikirkan untuk mengambil jalan tersebut atau tidak  serta adakah perkara yang dilakukan itu betul.

Ini sama juga seperti bertukar dari Windows kepada Linux. Pasti ramai sceptical dengan Linux jika tidak pernah mencubanya dan tidak tahu hendak bermula dari mana atau bagaimana. Jadi, bagi mereka yang ingin mencuba untuk mengunakan Linux, ada beberapa langkah awal yang boleh dilakukan tanpa memberikan anda masalah di kemudian hari.

 

1) Dapatkan informasi terlebih dahulu.

Informasti dan maklunat adalah penting dalam membuat sebarang keputusan. Tak kiralah apa jua tindakan yang bakal diambil. Untuk menjadi pengguna Linux, sudah pasti memerlukan sedikit informasi serta pengetahuan mengenainya. Ini sebenarnya sama seperti pada fasa awal kita menggunakan Windows. Saya masih ingat lagi warna skrin komputer saya di makmal sekolah sedikit berlainan dengan dengan rakan-rakan dan ini membuatkan saya kecut perut… (sebenarnya tiada apa pun, sekadar tukar setting di skrin tersebut sahaja).

Begitu banyak laman web yang boleh dilayari untuk mengetahui apa itu Linux dan Distro yang boleh dimuat turun. Sebagai permulaan, anda bolehlah melayari beberapa laman web dibawah untuk mendapat maklumat lanjut berkenaan distro Linux.

http://www.linux.org/

http://en.wikipedia.org/wiki/Linux

http://en.wikipedia.org/wiki/Ubuntu

http://en.wikipedia.org/wiki/Fedora

Berkenalan dahulu dengan Ubuntu dan Fedora kerana 2 Distro ini adalah yang paling glamer buat masa ini.

2) Pasang dan gunakan Linux

Langkah ini merupakan perkara yang paling ditakuti oleh mereka yang baru mengenali Linux. Banyak perkara yang bermain di minda; adakah kita perlu format komputer?; bagaimana dengan data yang sedia ada?; komputer saya mampu ke menyokong linux?; dan pelbagai lagi persoalan yang bermain di fikiran.

Sebenarnya, perkara ini telah lama diselesaikan oleh pembangun sistem operasi Linux ini. Satu langkah yang boleh digunakan ialah dengan memuat turun Live CD Ubuntu atau Fedora. Ubuntu dan Fedora boleh dilancarkan dengan hanya menggunakan Cd sahaja tanpa perlu memasang ke dalam komputer atau lebih teruk, format cakera keras.

Dengan Live CD yang disediakan oleh pengeluar sistem operasi ini, anda boleh “bermain” dan membuat eksperimen mengenai penggunaan Linux.

Selain dari itu, Ubuntu juga telah menghasilkan satu perisian yang dipanggil WUBI, yang mana Ubuntu boleh dipasang didalam Windows sama seperti Microsoft Word atau Photoshop tanpa membuat sebarang perubahan terhadap Windows itu sendiri. Cukup mudah bukan?

3) Asas-asas penggunaan.

Adakah saya dapat melakukan tugas sekarang jika meggunakan Linux?

Mungkin ya dan mungkin tidak. Linux untuk Desktop adalah satu sistem operasi yang lengkap denganOpenOffice dan beberapa perisian lain yang digunakan oleh pengguna biasa.

Jika anda menggunakan Windows untuk menaip dokumentasi, mendengar lagu, menonton cerita, melayari Internet dan berbual dengan rakan IM, sudah pasti ia dapat dilakukan oleh sistem operasi Linux. Sebenarnya anda boleh melakukan lebih dari itu…

Itu merupakan perkara-perkara yang biasa dilakukan oleh pengguna komputer. Sama seperti belajar memandu kereta, kita akan merasa sedikit kekok jika tidak biasa menggunakan kenderaan tersebut tetapi lama-kelamaan ia pasti menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

Pada ketika saya masih pengguna baru bagi Linux, semua terasa sangat asing tetapi kini, saya dapat melakukan semua perkara yang saya lakukan ketika menggunakan Windows. Ketika entri ini ditaip, saya mengunakan Chrome di dalam Ubuntu tanpa sebarang masalah.

Adakah anda ingin mencubanyaKongsikan pengalaman anda bersama kami…