Mungkin ramai yang telah mendengar dan mencuba sendiri elementary OS yang mana merupakan satu lagi distro sumber terbuka berasaskan Ubuntu (yang mana juga boleh dinyatakan bahawa ia berasaskan Debian). Permulaan projek elementary OS hanayalah sebagai satu set tema dan rekabentuk aplikasi kepada Ubuntu yang mana kemudiannya menjadi distro tersendiri. Asas pembangunan elementary OS adalah menghasilkan antaramuka yang cukup mudah untuk pengguna, ringkas dan ringan.

Keseluruhan pembangunan elementary OS amat menekankan keterbukaan dari semua aspek termasuk aplikasi dan kod sumber. Mereka juga meletakkan rekaan sebagai asas dahulu tanpa mengenepikan kualiti atau penggunaan sistem operasi ini. elementary OS juga menggunakan shell mereka sendiri yand dinamakan Pantheon dan diintegrasi bersama aplikasi elementary OS seperti Plank (satu aplikasi dok berasaskan Docky), Midori sebagai pelayar internet lalai dihasilkan dari Webkit, serta Scratch sebagai editor teks. Program email lalai pula ialah Geary yang mana email disusun berkadar seperti chat atau perbualan, jadi pengguna tidak perlu mencari email satu persatu untuk memudahkan bacaan.

Versi stabil yang pertama dilepaskan ialah dengan kod nama Jupiter pada Mac 2011 berasaskan Ubuntu 10.10. Versi terkini elementary OS pula ialah Luna tetapi dengan 2 kali keluaran, yang pertama ialah pada 6 Mei 2013 manakala versi stabil keluaran kedua pada 10 Ogos 2013. Luna berasaskan Ubuntu 12.04 LTS. Versi akan datang telahpun mempunyai kod nama iaitu Isis, diilhamkan oleh ketua projek Danial Fore. Pelan bagi tarikh pelancaran elementary OS terkini adalah pada April 2014 yang mana seiringan dengan Ubuntu 14.04.

elementary-OS

Kredit Gambar: http://elementaryos.org/