WordPress telahpun melepaskan versi baru iaitu WordPress 3.8 dengan antaramuka yang lebih menarik dengan beberapa sentuhan terhadap tona warna serta ikon baru. Ini membuatkan aplikasi ini tampak lebih kemas dan teratur. Dengan kod nama “Parker” sebagai menghormati “Charlie Parker” seorang pemuzik dan inovator kepada genre bebop (satu genre muzik jazz), WordPress baru ini juga membolehkan kita menggunakan tablet serta telefon pintar untuk pengurusan blog dengan lebih mudah.

Bagi penggemar tema berasaskan majalah, WordPress ini juga didatangkan dengan satu tema baru dengan nama Twenty Fourteen bagi meletakkan wiget, artikel terkini serta paparan susun atur untuk pembaca. Dengan konfigurasi huruf lalai menggunakan Open Sans, menulis artikel menjadi lebih selesa serta mudah dibaca, membuatkan ia sesuai pada mana-mana gajet anda. Navigasi dengan fon serta ikon baru juga lebih ringan. Yang lebih penting fon huruf ini juga adalah berasaskan sumber terbuka.

Tidak lupa juga pengurusan admin didatangkan dengan 8 warna skema sebagai pilihan untuk personaliti anda agar meningkatkan mood untuk lebih banyak menulis artikel (harap-haraplah ya..). Proses skrol yang lebih licin sememangnya membantu pengguna agar lebih produktif jika dengan tablet mahupun desktop anda.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai versi WordPress baru ini, anda boleh layari pengumuman mereka pada pautan ini  :  http://wordpress.org/news/2013/12/parker/

Jadi, bagi mereka yang belum membuat kemasini WordPress baru ini, anda boleh terus membuat kemaskinian pada paparan Dashboard WordPress anda atau muat turun pada laman web rasmi mereka untuk cuba menggunakannya.