Entri ini lebih berkisar mengenai kos yang perlu disediakan jika pengguna memilih untuk menjadikan sumber terbuka sebagai pilihan. Ini kerana, ramai yang beranggapan bahawa sumber terbuka adalah percuma dan persepsi ini masih lagi tertanam kepada ramai termasuk pengguna sumber terbuka itu sendiri.

Perlu dinyatakan pemilihan sumber terbuka masih memerlukan kos bagi semua orang termasuk organisasi dan orang persendirian. Salah satu kos yang tidak kelihatan ialah kos untuk mempelajari sumber terbuka. Mengikut pengalaman saya, ramai beranggapan dengan menggunakan sumber terbuka sebagai penyelesaian alternatif yang murah dan mudah tanpa mengambil kira nilai lengkuk pembelajaran untuk menggunakan sumber terbuka. Dan ini membawa kepada persepsi yang salah bahawa sumber terbuka tidaklah sebagus mana berbanding perisian atau penyelesaian tersedia.

Sememangnya aplikasi dan penyelesaian sumber terbuka tidak mempunyai kekangan lesen tetapi pengguna perlu memahami bahawa penyelenggaraan dan kemaskinian aplikasi sumber terbuka memerlukan mereka yang mahir dan ini perlu kos yang agak tinggi serta merugikan pada jangka masa panjang jika tiada pelan yang sesuai. Ini sekali lagi memberikan perasangka negatif kepada sumber terbuka kerana beranggapan semuanya mudah dan murah.

Rasanya itulah dulu merepek pagi ini sebagai penulisan untuk memanaskan badan dan alasan untuk kemaskini blog. Diharapkan dapatlah saya mengemaskini dengan lebih kerap kelak..